PENGHARAPAN DOA KASIH
Oleh :Sinar Qalbi 21/4/2012
Alhamdulillah
lafaz itu aku panjatkan kepada Pemberi nikmat di atas nikmat hujan yang
dilimpahkan pada hamparan bumi di petang yang penuh barakah. Udara panas
bersilih ganti dengan kesejukan yang mendinginkan insan yang berada
disekitarnya. Tatkala itu sinaran sang mentari sudah menghilangkan pancarannya.
Adakah malam ini akan diindahkan dengan pancaran bulan purnama??? Itulah aturan
alam yang sangat indah jika direnungkan. Kadangkala kita tidak sedari disebalik
hikmah aturan ini dalam kelekaan duniawi. Maka pengharapan kepada Pemilik kasih
sayang terus dipanjatkan.
Ya Allah Ya Rahman.....
Iman mohon dikukuhkan
Iman mohon diteguhkan
Pada segumpal darah yang bergelar hati
Semoga tetap pasak sehingga disemadi
KeredhaanMU menjadi rebutan
Al-Jannah menjadi impian
Rutin harianku bermula dengan iringan ketukan
beduk pagi yang mengajak manusia menunaikan kewajipan kepada Pencipta Alam dan
seruan menyeru semua makhluk menuju kejayaan sehingga diakhiri sepinya keriuhan
jiran tetangga. Apabila sinar mentari mula melambaikan pancarannya, aku mula
tersenyum untuk menyambut kehadiran sang purnama bersama harapanku dalam
meneruskan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dalam mendidik anak-anak
bangsaku dalam mencintai bahasa syurga. Wajarkah aku mengeluh kepenatan setelah
seharian mengabiskan masa dalam melakukan tugasan di fakulti dari pagi sehingga
petang?
“ saya mohon tolong ajarkan anak saya
bahasa Arab boleh?” soal seorang ayah.
Bagiku
jawapan untuk aku terus mengeluh adalah tidak wajar, ini kerana mendidik itu
perlu diteruskan. Bagiku kegelapan malam bukanlah halangan bagiku untuk meredahi
demi anak-anak didikku. Hal ini kerana ilmu itu ada cahaya yang akan menyinari
kegelapan itu. Pengharapan terus dipanjatkan kepada pengatur alam Yang Maha
Berkuasa.
Ya Allah Ya
Rahim
Kedaifan hambaMU dalam
Mencari cahaya imanMu
Mohon kekuatan untuk terus berjuang
Berjuang mencari nur imanMU,
Berjuang menampung kedaifan diri,
Berjuang mengejar syurga abadi,
Keberkatan dan keredhaanMU
Terus aku harapkan
Semoga Iman dan Islam
Tidak luntur dan goyah
Ditelan duniawi..
Bagi yang
bergelar seorang guru, kita bukan sahaja di amanahkan untuk mengajar bahkan secara
langsung kita mendidik. Anggaplah ia bukanlah satu beban kerana itu merupakan
amanah yang dipertanggungjawabkan tatkala kita telah melakarkan perjanjian
untuk menerima amanah itu.
“ustazah saya dah minat nak belajar bahasa
syurga, seronok la” luah Firhath.
Melihat dan
mendengar luahan anak-anak didik membuatkan seorang yang bergelar pendidik
bersemangat untuk menggalas amanah ini. Hal ini bukanlah untuk dibanggakan
tetapi anggaplah sebagai vitamin tambahan untuk memberi kekuatan pada diri
bahawa perjuangan dalam mendidik harus diteruskan demi memberi sinar ilmu
kepada mereka. Ini bukanlah suatu perkara yang perlu dirisaukan kerugiaannya.
Berkata Imam Ibnu Rejab Al-Hanbali rahimahullah,
“Adalah kemurahan hati Rasulullah s.a.w
merangkumi semua disiplinnya, daripada mencurahkan ilmu dan memberikan harta,
mengorbankan diri Baginda s.a.w sendiri di jalan Allah demi untuk menegakkan
syiar agama dan agar umat mendapat hidayah. Baginda s.a.w juga sentiasa
berusaha untuk memberi manfaat kepada manusia lain dengan apa jua cara. Dengan
memberi makan kepada yang lapar, memberi nasihat kepada mereka yang tidak tahu,
menunaikan hajat mereka yang memerlukannya, dan berkongsi bebanan dengan
mereka”.
Apakah
pembalasan daripada insan yang kita
harapkan setelah apa yang telah kita
lakukan? Jika itu yang pernah dan masih kita harapkan maka disaat lakaran ini
dilakarkan dan disaat lakaran ini dibaca, gugurkanlah ia dari senarai
angan-angan biarlah ia pergi bersama tiupan angin yang akan membawanya pergi
jauh dari pandangan dan fikiran kita. Biarlah pembalasan dan penghitungan itu
kita serahkan pada Pemberi balasan. Itulah yang selayaknya menilai apa yang
telah kita lakukan. Percayalah kita akan sesuatu perkara yang kita laksanakan
itu adalah perkara yang sangat kita cintai dan meletakkan diri dalam kerelaan
demi menggapai sebuah keredhaan dan keberkatanNYA. Sesungguhnya janji Allah itu
pasti. Seperti firman Allah S.W.T di dalam al-Quran, terjemahan surah al- Yunus
[10] : 61
“Kamu tidak
berada dalam suatu keadaan dan tidak membaca suatu ayat dari al-Quran dan kamu
tidak mengerjakan suatu pekerjaan, melainkan Kami menjadi saksi atasmu di waktu
kamu melakukannya. Tidak luput dari pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah
(atom) di bumi ataupun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula)
yang lebih besar dari itu, melainkan (semua tercatat) dalam kitab yang nyata
(Lauh Mahfuz)”.
Bersamalah
kita merenung dan berfikir dengan mukjizat kalam Allah s.w.t yang menjadi
pegangan dan panduan buat kita.
Dari Hadzrat Anas r.a. berkata: Aku
mendengar Nabi s.a.w. bersabda;
“Pada hari kiamat nanti aku akan dibenarkan
untuk memberi syafaat kepada umatku, aku akan berkata: Wahai Tuhanku!
masukkanlah ke dalam syurga setiap orang yang di dalam hatinya terdapat iman
walaupun sebesar biji sawi. (Maka Allah S.W.T. menerima syafaatku) maka
orang-orang tersebut akan memasuki syurga. Kemudian aku berkata lagi: Wahai
Allah S.W.T. masukkanlah ke dalam syurga bagi orang yang di dalam hatinya
terdapat iman walaupun sebesar zarah.”
Wahai pendidik dan bakal
pendidik khususnya diluar sana dan
masyarakat amnya, marilah kita bermuhasabah bersama adakah selama ini kita
hanya mengajar dan terlupa untuk mengajak bersama istilah “didik” itu untuk
sama-sama seiringan dengan kerjaya kita.
“ustazah saya tengok dia enjoy belajar dan
makin berminat” kata Encik Zulkifli.
“encik semua ini dari Allah, saya hanya
mampu membantunya”..balasku.
Pesanan ini
adalah pengharapan dan perkongsian penulis yang kerdil ini untuk mengajak
sahabat dan masyarakat seperjuangan sentiasa bermuhasabah dalam medan ilmu ini.
Semoga pengharapan kemuncak doa kasih
ini berterusan dalam menyebarkan ilmu yang walaupun sekadar melalui
lakaran pena.
* Wasalam*
No comments:
Post a Comment