Tuesday, 17 January 2012

SEPUTEH SULAMAN CINTA....


BAB 1
“Hati-hati Maisarah” jerit Ijam mengingatkan Maisarah supaya berhati-hati merentasi anak sungai. Batu sungai dipermukaannya diselaputi lumut. Sangat licin. Air sungai yang sangat sejuk dan jernih menarik perhatian Maisarah dan rakan-rakannya. Tidak sia-sia mereka datang ke Lata Belatan ini, getus Maisarah. Kunjungan ini menyedarkan Maisarah bahawa masih ada sungai yang terpelihara keindahannya.
            Aliran yang perlahan, jernih bak kristal itu mengagumkan. Ijam mengetuai sekumpulan pendaki seramai lapan orang menyusuri sungai yang bertatahkan batu batan pelbagai bentuk dan saiz serta dipagari pepohon menghijau yang sejuk mata memandang. Terlintas difikiran Maisarah dan melahirkan rasa kecewa apabila ada sesetengah manusia yang diberi fikiran tidak menitikberatkan soal penjagaan alam sekitar. Mereka asyik mengejar kemewahan dan sanggup menggadai tanah yang diliputi dengan keindahan flora dan fauna. Ada juga yang menceroboh masuk ke kawasan yang dilindungi oleh kerajaan semata-mata ingin memburu binatang untuk dijual. Sikap manusia yang tamak dan mengejar kemodenan juga memberi kesan besar kepada pemanasan global sekarang.
            Maisarah sangat sensitif bila berbicara tentang alam semulajadi yang telah tercemar. Baginya kehijauan hutan itu memberi kedamaian dan ketenangan bagi dirinya. Manusia tidak layak untuk menodai khazanah ini. Pemanasan global sudah memberi amaran kepada penduduk bumi. Tetapi ramai yang tidak mengendahkan. Bagaimana dengan generasi akan datang. Adakah mereka sempat menikmati keindahan alam yang menghijau ini. Alangkah rugi jika manusia yang dikurniakan akal tidak pernah bersyukur dan menghargai anugerah yang bernilai ini. Pelbagai persoalan bermain difikiran Maisarah.
            Kira-kira sejam selepas meninggalkan ibu pejabat Hutan Lipur Lata Belatan, langkah mereka terhenti di sebuah tapak perkhemahan yang boleh memuatkan kira-kira 30 pendaki dalam satu masa.
            Mereka bergotong-royong mendirikan dua buah khemah dan sejurus kemudian, seperiuk air dijerang di atas dapur yang dijana oleh petrol tanpa plumbum. Mereka menikmati sandwich tuna dengan hirisan tomato segar sambil meneguk kopi O panas. Sedikit makanan dan minuman dimuatkan ke dalam beg galas kecil sebagai persediaan untuk menjejaki laluan ke Puncak Gunung Tebu. Jarak 1,037 meter dan ketinggian 3,401 kaki dari aras laut adalah destinasi yang menjadi matlamat ekspedisi mereka.
“Bangun! Bangun!dah pagi” jerit Ijam memanggil rakan-rakan yang lain.
“Letihnya badan aku.” kata Miza.
“Hei, baru sehari sampai kau dah letih?” komen Ijam.
“Aku kuat lagi la” jawab Miza untuk pertahankan.
            Semua orang bangun untuk membuat persiapan untuk meneruskan destinasi. Selepas semuanya sudah bersedia,mereka mengorak langkah pada kira-kira pukul 10.30 pagi meninggalkan tapak perkhemahan. Trek yang mereka tempuhi agak kering dengan dipenuhi dedaun dan ranting mati.
            Semakin lama mereka berjalan, semakin hilang bunyi deruan anak sungai yang mengalir. Kini, segala-galanya dirasakan begitu sepi seolah-olah tiada lagi kehidupan yang wujud di alam maya ini. Walaupun begitu, di sebalik kehijauan yang sering dibelenggu keheningan, masih terdapat banyak spesies fauna yang mendiami hutan ini. Setelah hampir dua jam berjalan, mereka sampai di satu lokasi yang dipanggil Batu Mat Hassan. Mereka duduk melepak sambil menikmati makanan ringan dan meneguk minuman. Ada juga rakan-rakan Maisarah mengambil gambar berlatarbelakang Batu Mat Hassan.
“Maisarah! Apa yang kau tercegat disitu, marilah bergambar”jerit Kinah.
“Okay, aku datang” balas Maisarah.
“Segarkan udara sekeliling ni” Kinah bercakap sambil matanya dipejamkan.
“Segar, segar jugak jangan nak berangan lama sangat” Ijam bergurau.
“Kau ni, kacau jelah aku nak ambil ilham” balas Kinah.
            Setelah menghilangkan penat, mereka meneruskan perjalanan. Trek yang mereka tempuhi agak sukar dan mencabar. Mereka bertungkus lumus mengatur langkah demi langkah dengan keringat membasahi badan sambil menongkah bukit mencanak. Langkah yang diatur mestilah kemas. Kecuaian mungkin membawa padah. Laluan yang lembap dan licin seringkali menimbulkan masalah kepada penjelajah hutan seperti mereka terutama tatkala melangkah turun.
            Beberapa ekor semut bersaiz besar yang panjangnya kira-kira satu inci atau 2.5 sentimeter melintasi trek yang mereka tempuhi. Apa yang menarik tentang serangga yang dikenali sebagai Semut Hutan Gergasi atau Camponotus Gigas itu adalah merupakan antara spesies semut terbesar dunia. Mereka menyusun langkah dengan berhati-hati agar tidak terpijak serangga unik tersebut.
            Adakalanya, mereka menuruni denai yang bercerun sederhana sebelum mendaki semula laluan yang turut direntangi pokok kayu. Mereka turut berdepan dengan cabaran hutan yang tipikal seperti pokok tumbang dan lereng bukit yang agak licin serta curam. Langkah mereka kemudiaanya terhenti, trek yang mereka lalui agak sukar menyebabkan perjalanan yang telah dirancang tidak berjalan lancar.
            Keadaan semakin gelap, hanya bergantung kepada cahaya lampu suluh dikepala menjadi panduan untuk menjejaki semula trek yang mereka tempuhi sejak awal pagi tadi. Mereka meredah hutan untuk mencari jalan untuk pulang ke tapak perkhemahan, tetapi jarak perjalanan terlalu jauh dan sukar untuk menjejaki laluan asal. Terlalu sukar kerana mereka telah masuk ke perut hutan yang tebal. Hanya bunyi cengkerik kedengaran.
“Hati-hati semua” jerit Ijam memberi peringatan kepada rakan-rakan.
            Mereka menjadi semakin lemah. Usaha mereka sia-sia sahaja. Dalam gelap pekat malam itu, tiba-tiba maisarah rasakan dirinya sangat lemah dan tidak bertenaga. Tetapi dia diamkan supaya tidak mahu rakan-rakan yang lain berasa risau, memandangkan keadaan mereka yang kini sesat di dalam hutan yang  tebal.
             Lebih membimbangkan trek yang mereka tempuhi itu adalah berdekatan cerun yang curam dan licin. Pokok tumbang menghalang laluan dan mengaburi pandangan. Maisarah rasakan dirinya melayang ke belakang dan cahaya lampu suluh dilihatnya semakin kecil.
            Tubuh Maisarah melayang ke belakang tanpa sempat dia berpaut pada mana-mana ranting. Tubuhnya bagai ditelan ke dalam cerun yang tinggi lagi gelap. Rakan-rakannya cuba mencari tubuh Maisarah, tetapi usaha di malam pekat itu menyukarkan mereka. Sahutan Maisarah tidak kedengaran. Keadaan menjadi semakin gawat. Kinah dan Miza menangis kerana takut apa-apa akan berlaku pada Maisarah.
            Hampir tiga jam mereka berusaha mencari, tetapi ianya tidak berhasil juga. Ijam memberi kata putus untuk mencari jalan keluar untuk mendapatkan bantuan. Mereka meneruskan perjalanan dengan meredah hutan yang kini menjadi cabaran bagi mereka. Perasaan gelisah dirasai oleh semua.
“Di mana Maisarah? tanya Kinah sambil tersedu-sedu menangis
“Sabar Kinah, kita tengah berusaha mencari Maisarah” jelas Miza yang juga risau.
“Aku tak nak apa-apa berlaku pada Maisarah”pinta Kinah.
“Sama-sama kita berdoa semoga semuanya selamat” harap Miza.
            Perjalanan mereka untuk sampai ke jalan keluar masih jauh. Trek asal sudah tidak dapat dijejaki oleh mereka. Ini menyebabkan mereka terpaksa mengambil masa yang lama untuk mendapatkan bantuan. Kedengaran guruh berdentum di langit, ini petanda hujan akan turun. Diselangi dengan bias cahaya kilat. Keadaan bertambah parah jika hujan turun dengan lebat.
            Mereka mempercepatkan langkah untuk mencari tanah yang agak rata supaya dapat mencari tempat untuk berlindung. Akhirnya mereka sampai di kawasan yang agak rata, Ijam dan Hanif memeriksa kawasan tersebut dan mereka mendapati ada sebuah dangau. Mungkin dangau milik peneroka hutan di sini.Mereka semua menumpang untuk berlindung disitu. Hujan mulai turun.
            Keadaan menjadi semakin dingin. Mereka semua berada dalam kesejukan. Semua memberi kata sepakat untuk bermalam disitu, apabila hujan mulai reda, khemah didirikan untuk mereka berlindung pada malam itu. Kesihatan dan keselamatan hendaklah diutamakan juga, supaya besok hari bertenaga untuk keluar dari hutan tebal itu.
            Malam berlalu dengan pantas.Kicauan burung riuh kedengaran menandakan hari semakin cerah, semua orang kelihatan sangat keletihan. Mereka semua bersiap dan membersihkan kawasan tersebut sebelum meninggalkan kawasan itu.
            Ijam sebagai ketua ekspedisi itu memberi kata semangat kepada rakan-rakanya supaya kuatkan semangat. Semua kejadian yang berlaku ini tidak pernah tersenarai dalam perancangan mereka.
            Redha dengan ketentuan Allah. Mereka meneruskan perjalanan untuk mendapatkan bantuan untuk mencari Maisarah.
            Pagi yang dingin dan kabus tebal menyelimuti kawasan hutan itu, titisan embun dihujung daun menitis jatuh ke bumi hijau itu. Parang yang tajam menjadi peneman Pak Kharma setiap kali dia keluar untuk mencari hasil hutan. Sudah menjadi rutin Pak Kharma untuk masuk ke hutan tebal itu pada waktu begini untuk mencari Pokok Kesumba.
            Pokok ini boleh mencapai ketinggian sehingga 20 kaki. Daunnya berwarna hijau dan berbentuk seperti jantung.  Buahnya pula tersusun secara bergugusan dan bewarna merah serta berbulu lebat. Apabila matang ia bertukar kepada warna perang kehitaman dan merekah serta menampakkan biji-biji bewarna merah.
            Pak Kharma sudah sebati dengan kawasan hutan tebal ini. Hutan itu bagaikan sebahagian daripada hidupnya. Kehijauan dan kesegaran udara memberi ketenangan kepada Pak Kharma. Selok belok hutan ini sudah tertanam dalam ingatan Pak Kharma.
            Jauh menyulusuri hutan itu,akhirnya Pak Kharma telah menemui pokok yang dicarinya. Tentu Mak Puteh isteri Pak Kharma suka jika Pak Kharma dapat membawa pulang buah-buah pokok kesumba. Ini kerana bercoraklah juga tikar mengkuang anyaman Mak Puteh nanti. Warna merah daripada biji pokok itu dijadikan Mak Puteh sebagai pewarna tikar mengkuangnya.
            Tanpa menbuang masa, Pak Kharma menghayunkan parangnya yang tajam itu. Tepat mengenai dahan pokok itu, Pak Kharma mencantas ranting-ranting pokok itu untuk memudahkannya mengutip buah-buah kesumba, Pak Kharma memasukkan ke semua buah kesumba ke dalam bakul buluh yang digalasnya tadi. Pak Kharma mengemaskan balutan kain dikepalanya, peluh keringat dikesat Pak Kharma.
            Dia meneruskan perjalanan untuk mencari hasil hutan yang boleh dimakan. Jantung pisang adalah ulam kegemaran Pak Kharma. Dia meneruskan langkahnya untuk mendapatkan hasil hutan itu, untuk dijadikan hidangan Pak Kharma dan isteri. Matahari sudah meninggi. Telah masuk waktu zohor,getus Pak Kharma.
            Tanpa membuang masa Pak Kharma meruskan langkah untuk ke sungai yang berhampiran. Deruan air yang mengalir kedengaran tidak jauh daripada tempat Pak Kharma berdiri. Bakul buluh yang berisikan buah kesumba dan jantung pisang itu diletakkan bersebelahan batu besar.
            Kaki Pak kharma mencecah gigi air yang jernih dan sejuk itu. Air yang jernih itu dicedok menggunakan kedua belah tangan untuk membasahkan muka. Kesegaran amat terasa. Itulah nikmat Tuhan atas segala ciptaanNya. Pak Kharma mengambil wuduk untuk mendirikan solat zohor. Selesai mengambil wuduk Pak Kharma menghamparkan kain ikatan dikepalanya untuk dijadikan alas untuk dia mendirikan solat.
            Ketaatan kepada Allah tidak pernah ditinggalkan Pak Kharma walau dimana ia berada. Tempat dan masa bukan alasan untuk menghalangnya mengabdikan diri kepada yang Maha Esa. Dia bersyukur atas nikmat kesihatan yang dikurniakan. Tidak mungkin dia mampu meredah hutan tebal ini untuk mencari rezeki jika tidak dikurniakan kesihatan yang baik.
            Sebagai hambaNya, kita perlu bersyukur atas segala nikmat itu. Empat rakaat telah selesai. Pak Kharma menadah tangan memohon doa pada Tuhan yang Esa. Setelah semuanya selesai, Pak Kharma meneruskan perjalanan untuk pulang ke rumah.
             Risau Mak Puteh jika Pak Kharma pulang lewat. Macam-macam perkara boleh berlaku dihutan tebal ini. Isteri mana tidak sayangkan suami.
            Jarak antara rumah Pak Kharma dari hutan ini agak jauh. Perut hutan tebal itu diredah Pak Kharma. Dalam perjalanan pulang, Pak Kharma terperanjat apabila melihat sekujur tubuh terbaring lemah. Dia cuba menghampiri untuk mendapatkan kepastian. Jelas kelihatan seorang anak gadis terbaring tidak sedarkan diri.
            Perasaan simpati menerjah disanubari Pak Kharma. Dari mana datang budak ini? Pak Kharma bercakap sendiri. Kesan luka dikepala anak gadis itu jelas kelihatan dengan darah yang sebahagian telah kering. Mata Pak Kharma liar mencari akar pokok kayu yang berjuntai. Tujuan Pak Kharma untuk medapatkan sumber air.
            Apabila telah menjumpai akar pokok itu, Pak Kharma mengeluarkan parang yang diselit dipinggangnya itu lalu mencantas akar pokok itu. Air yang menitis ditadah menggunakan daun keladi hutan yang bersaiz agak lebar yang berhampiran dengan akar pokok itu.
            Apabila air yang ditadah itu sudah penuh, Pak Kharma membacakan selawat lalu merenjis air ke muka gadis tersebut. Itu cara yang Pak Kharma lakukan untuk menyedarkan gadis tersebut. Ada sedikit reaksi daripada gadis itu.
            Akhirnya gadis itu mula bergerak dan cuba untuk membuka matanya. Gadis yang Pak Kharma jumpa itu adalah Maisarah. Maisarah terkejut apabila melihat Pak Kharma yang tercegat di depannya. Dia sangat takut. Darah dari luka di kepala yang mengalir di dahi Maisarah jelas kelihatan. Darah itu sudah kering kerana sudah semalaman dia tidak sedarkan diri. Tetapi Maisarah kelihatan sedang menahan sakit yang teramat sangat. Kesan luka yang parah dikepalanya amat menyakitkan.
            Pak Kharma menjelaskan siapa dia sebenarnya. Maisarah kelihatan yakin dengan apa yang diperkatakan oleh Pak Kharma, tetapi malangnya Maisarah tidak kenal siapa dirinya. Ini mungkin kerana hentakan yang kuat di kepala Maisarah ketika terjatuh menyebabkan kotak memori tidak dapat berfungsi buat seketika.
            Nasib Maisarah baik kerana Pak Kharma sudi membantu. Tanpa melengahkan masa, Pak Kharma mencari kayu yang kuat dan bercabang dua untuk dijadikan tongkat untuk Maisarah. Maisarah tidak mampu berjalan tanpa tongkat. Dirinya masih terhuyung-hayang ke kanan ke kiri.
            Pak Kharma perlu membantu Maisarah untuk dapat berjalan pulang. Pak Kharma membawa Maisarah pulang ke rumahnya. Mungkin selepas diubati dan setelah pulih sepenuhnya, gadis ini boleh mengingati semula siapa dirinya yang sebenar, getus Pak Kharma.
            Niat Pak Kharma untuk membantu diterima Maisarah. Walaupun badan terlalu lemah, Maisarah gagahkan juga kaki untuk melangkah. Kesakitan masih terasa. Tetapi ianya bukan penghalang untuk Maisarah menyusun langkah.
            Selangkah demi selangkah di aturnya. Sepanjang perjalanan pulang Pak Kharma berhenti  sekejap untuk Maisarah berehat dan menghilangkan lelah. Ini kerana jarak untuk sampai ke rumah Pak Kharma agak jauh. Pondok usang yang didiami Pak Kharma dan isteri itu agak jauh daripada kawasan perkampungan. Itulah harta pusaka peninggalan Pak Kharsu bapa kepada Pak Kharma.
            Cahaya mambang kelihatan di dada langit. Ini memberi petanda hari sudah masuk ke laman senja. Pak Kharma sudah arif jika keadaan begini. Langkah tidak lagi dilengah-lengahkan. Jika keadaan semakin gelap perjalanan agak menyukarkan. Bagi Pak Kharma tidak menjadi masalah jika dia pulang berseorangan. Tetapi agak sukar bagi Maisarah untuk berjalan dalam keadaan yang  gelap.
            Langkah terus diatur dan Maisarah dipimpin Pak Kharma. Bunyi unggas-unggas dihutan bagaikan menyanyi. Sedap didengar. Bagaikan sebuah irama asli yang tidak dapat dicipta manusia. Maisarah terus mengatur langkah walaupun tidak terdaya. Dia kuatkan semangat untuk sampai ke rumah Pak Kharma. Jika mereka lambat mungkin keadaan akan lebih menyukarkan. Mereka sekarang sudah sampai dilorong menuju ke teratak PakKharma.
            Perjalanan mereka akan sampai ke penamat. Bagaikan pelari menanti garis penamat. Sepuluh minit berlalu, bumbung teratak Pak Kharma sudah jelas kelihatan. Itu menandakan mereka sudah hampir sampai. Akhirnya mereka sampai diteratak Pak Kharma dan Mak Puteh.

>>>sambungan<<<







No comments:

Post a Comment