Wednesday, 18 January 2012

SEPUTEH SULAMAN CINTA

BAB 2
“Assalamualaikum” Pak Kharma memberi salam.
Agak lama menunggu, Mak Puteh tidak muncul-muncul. Mungkin Mak Puteh tidak dengar salam. Berulang kali Pak Kharma memberi salam. Akhirnya barulah Mak Puteh muncul. 
“Waalaikummusalam” jawab Mak Puteh.
Mak Puteh muncul di tepi rumah dengan berselipar biru  untuk menyambut suaminya pulang.
“Sudah lama awak pulang?” tanya Mak Puteh.
“Dah berbuih mulut saya ni bagi salam”
“Saya ada di belakang rumah tadi mengangkat mengkuang yang saya jemur tadi” jelas Mak Puteh.
            Alangkah terperanjat Mak Puteh apabila melihat Pak Kharma tidak pulang keseorangan. Segala persoalan berlegar di kotak fikiran Mak Puteh.
            Siapa gerangan yang tidak terurus itu dan dengan penuh luka di badan. Makhluk halus atau manusia yang mengikut suamiku pulang. Fikiran Mak Puteh sudah melampaui had berfikir. Raut wajah Mak Puteh berubah. Mencari-cari jawapan yang difikirkan.
“Kenapa pandang saya semacam sahaja” tanya Pak Kharma.
“Awak bawa pulang siapa ni?” tanya Mak Puteh.
“Nanti saya ceritakan, bawa budak ini masuk dahulu” ringkas Pak Kharma.
            Mak Puteh yang sangat patuh dan taat pada perintah suami, menyambut mesra anak gadis itu dan membawanya naik ke teratak buruk itu. Perasaan tidak puas hati masih jelas dilihat pada raut wajah Mak Puteh kerana persoalannya masih belum terjawab. Tetapi Mak Puteh tetap bersabar menunggu jawapan daripada suaminya.
             Mak Puteh melihat Maisarah dengan penuh rasa simpati. Mak Puteh tidak banyak bertanya kerana melihat keadaan Maisarah yang sangat lemah. Selepas selesai membersihkan Maisarah, Mak Puteh menyiapkan tempat untuk Maisarah berehat. Maisarah berbaring di atas tikar mengkuang yang dialas sebanyak empat helai supaya lapisannya menjadi tebal. Mak Puteh membiarkan Maisarah berehat.
            Dia terus ke ruang dapur. Kayu api yang tersusun di penjuru dapur diambil Mak Puteh. Mancis dicapainya. Api dinyalakan. Sementara menunggu api membakar sebahagian kayu itu, Mak Puteh membasuh beras. Selepas selesai membasuh beras itu tiga kali, Mak Puteh meletakkan periuk diatas dapur itu. Periuk yang permukaan luarnya berwarna hitam kesan dari arang dapur kayu. Selagi tidak bocor, periuk itulah yang tidak jemu  berjasa kepada Mak Puteh dan Pak Kharma.
            Mungkin anak gadis itu kelaparan, berfikir Mak Puteh. Setelah beras yang ditanak menggunakan dapur kayu itu sudah masak, Mak Puteh menghidangkan makanan sekadar yang mampu. Ikan kering dan ulam pucuk ubi menjadi hidangan mereka. Mak Puteh memanggil Pak Kharma untuk mengisi perut yang belum diisi itu.
            Pak Kharma yang sudah selesai menunaikan solat isyak terus ke dapur untuk mengisi perut. Seharian dia dihutan mencari hasil hutan. Mak Puteh meninggalkan Pak Kharma makan bersendirian. Ini kerana Mak Puteh perlu membawa makanan ke bilik Maisarah. Mungkin anak itu sangat lapar. Mak Puteh mengangkat badan Maisarah untuk disandarkan pada dinding papan bagi memudahkan Maisarah untuk makan. Lalu Mak Puteh menyuapkan makanan kepada Maisarah.
            Maisarah membuka sedikit mulut untuk makan, bibirnya yang luka itu menyukarkan Maisarah untuk makan, malah badannya masih lemah. Selepas selesai menyuapkan Maisarah,  Pak Kharma meminta Mak Puteh menyapukan ubat pada luka Maisarah. Mak Puteh mengangguk tanda setuju.
            Minyak gamat yang terletak diatas rak diambil Mak Puteh untuk disapukan pada luka Maisarah. Kepala Maisarah yang luka itu diletakkan ubat dan dibalut. Luka yang parah itu mengambil masa yang lama untuk sembuh. 
            Anak gadis itu dijaga seperti anak mereka sendiri, walaupun anak yang mereka sayang telah tiada. Mak Puteh telah menganggap anak gadis itu seperti anaknya sendiri. Selepas selesai menyapukan ubat kepada Maisarah, Mak Puteh membuatkan secawan kopi untuk Pak Kharma yang berada di beranda. Mereka berdua berborak panjang. Pak Kharma menceritakan hal kejadian bagaimana Pak Kharma menjumpai Maisarah kepada Mak Puteh.
            Mereka cuba untuk membantu Maisarah secepat mungkin. Tetapi memandangkan keadaan Maisarah yang masih parah. Agak sukar untuk Maisarah pulih dalam jangka waktu yang singkat. Mak Puteh sangat bersimpati pada anak gadis itu. Tetapi dalam masa yang sama, Mak Puteh turut gembira kerana ada peneman dirumah. Alangkah seronoknya kalau anak perempuan mereka masih hidup, tentu cantik dan sebaya Maisarah sekarang, tapi sebagai manusia kita tidak dapat menolak takdir yang telah tercatat, sempat Mak Puteh berangan.
“Kenapa dengan awak ni? Dari tadi saya panggil senyap je” tanya Pak Kharma.
“Ish..sempat lagi aku berangan” bisik Mak Puteh.
“Apa yang awak berangankan?” soal Pak Kharma.
“Eh...takde apalah” ringkas Mak Puteh cuba berdalih.
“Dah lewat malam ni,awak pergi la masuk tidur dulu” suruh Pak Kharma.
“Dah awak tak nak tidur jugak ke?” soal Mak Puteh.
“Kejap lagi saya masuk tidur” jelas Pak Kharma.
“Baiklah” sahut Mak Puteh.
            Mak Puteh memasang kelambu yang lusuh dan sudah bertampung disana sini. Tidak dapat tidur kalau tidak memasang kelambu, memandangkan nyamuk begitu banyak. Kawasan yang dikelilingi hutan mustahil tidak mempunyai habitat nyamuk.
             Mak Puteh merehatkan badan sambil berfikir tentang kerja yang perlu diuruskan esok hari. Badan perlu direhatkan selepas seharian mengayam tikar. Banyak lagi perkara yang perlu diuruskan esok, mengkuang yang sudah dua hari diremdam hendaklah dijemur esok harinya. Mak Puteh harapkan cuaca pada keesokan hari panas. Kalau hujan mana mungkin mengkuang itu akan kering. Ini akan melambatkan proses untuk menyiapkan tikar mengkuang.
            Tikar yang sudah siap hanya tinggal empat helai. Ramai yang berminat pada tikar mengkuang putih. Mak Puteh terus hanyut dibuai mimpi. Badan yang terlalu letih memudahkan Mak Puteh melelapkan mata. Badan juga perlukan rehat, selepas seharian bekerja.
“Awak, bangun!bangun!” Pak Kharma mengejutkan Mak Puteh
“Sudah subuh ke?” tanya Mak Puteh
“Dah masuk subuh dah” jawab Pak Kharma
            Malam berlalu dengan cepat sekali, ayam jantan sudah mula menjalankan tugasnya untuk membangunkan sesiapa yang tidur. Pak Kharma menghayunkan langkah menuju ke bilik mandi di luar rumah.
            Kesejukan terasa hingga ke tulang apabila air di kolah itu menyirami tubuh. Itulah rutin harian mereka berdua. Bangun di awal pagi. Masa yang dikurniakan tidak mereka bazirkan. Banyak perkara yang perlu diuruskan. Jika mereka membazirkan masa yang dianugerahkan, mereka sendiri yang akan menanggung risiko untuk menyara kehidupan.
            Manusia yang pandai dan tahu menghargai masa sahaja yang dapat merasai betapa bernilainya masa itu. Hari mulai cerah. Mak Puteh menyediakan sarapan pagi sebelum mereka memulakan kerja. Perut perlu diisi sebelum memulakan kerja.
            Tenaga adalah sumber yang diperlukan oleh badan untuk menggerakakn sendi-sendi. Pak Kharma mula mengasah parang dan pisau. Ketajaman parang akan memudahkan kerja untuk mencantas daun mengkuang. Mak Puteh pula sibuk mengeluarkan daun mengkuang yang telah direndam selama dua hari untuk dijemur. Parang yang sudah tajam diasah itu dimasukkan kedalam sarung. Pak Kharma menyelit parang itu dipinggangnya.
            Hari ini Pak Kharma akan pergi ke kawasan paya untuk mendapatkan daun mengkuang. Mengkuang yang telah di proses sudah tidak banyak di rumah. Pak Kharma mencapai kain yang disangkut di beranda rumah untuk disimpul dikepalanya. Kawasan paya menjadi tempat Pak Kharma berhempas pulas.
            Jarak daripada rumah Pak Kharma dengan kawasan paya diantara lima hingga enam kilometer. Mengkuang tumbuh subur di kawasan berair tawar. Biasanya ia subur di lopak-lopak belukar atau kawasan bakau dan kawasan sawah padi yang lembab. Pohon mengkuang lebih tinggi daripada pohon pandan, tetapi mengkuang mempunyai dahan bercabang yang sedikit jika dibandingkan dengan pohon pandan.
            Cuaca pagi ini sangat baik sekali. Pagi masih berembun, waktu begini Pak Kharma sudah keluar mencari rezeki. Waktu pagi dan petang adalah sangat sesuai untuk pengambilan daun bagi mengelakkan daun dari cepat layu. Inilah sumber rezeki Pak Kharma dan isteri. Jika dia tidak berusaha keras, tidak terisilah perut mereka berdua.
             Pak Kharma bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan. Tidak ada rezeki datang melayang jika tidak ada usaha. Pokok mengkuang yang menghijau sudah terbentang di depan Pak Kharma. Kawasan inilah yang menjadi sumber utama. Parang yang terselit dipinggangnya ditarik keluar daripada sarung. Daun mengkuang yang matang akan menjadi mangsa. Daun mengkuang yang sesuai dipilih dari jenis yang baik.
             Pengambilan daun bagi pokok yang ditanam mestilah berusia lebih kurang dua tahun tetapi bagi pokok yang tumbuh meliar daunnya boleh diambil sebulan sekali. Pak Kharma menetak batang mengkuang supaya ia terus menjalar di tanah.
            Batang mengkuang yang dibiarkan berdiri tegak akan menyukarkan kerja-kerja mengambil daun mengkuang. Oleh itu batang mengkuang perlu sepanjang masa berada condong atau berkeadaan menjalar di permukaan bumi. Daun mengkuang di potong di bahagian pangkalnya sehelai demi sehelai. Daun mengkuang yang sudah matang seolah-olah mengerti nasib yang akan menimpa mereka jika Pak Kharma muncul. 
            Daun mengkuang yang berduri dipotong sehelai demi sehelai dengan berhati-hati bagi mengelakkan luka. Parut yang berbekas dilengan Pak Kharma adalah parut dari luka terkena duri daun mengkuang. Bagi Pak Kharma luka terkena duri mengkuang adalah sudah lazim dan sebati dalam hidupnya sebagai pencari daun mengkuang.
             Daun mengkuang yang sudah dipotong itu disusun berlapis-lapis, antara tiga hingga lima helai, dipotong di bahagian pangkal dan hujung daun. Kemudian duri di bahagian tulang belakang (mempulur) daun itu dibuang.
            Mengikut kepercayaan, daun mengkuang tidak boleh diambil ketika “bulan besar” atau ketika pertengahan bulan mengikut kalendar Islam. Jika ia dilakukan juga, pokok mengkuang berkenaan akan mati. Walaupun ia sekadar kepercayaan tetapi terdapat bukti pokok-pokok mengkuang layu dan mati selepas diambil ketika pertengahan bulan. Pak Kharma sentiasa berhati-hati walaupun ianya sekadar kepercayaan orang ramai. Baginya sebagai pencipta tikar mengkuang, Pak Kharma hanya akan mengambil daun mengkuang ketika penghujung bulan atau awal bulan yang mana ketika itu bulan semakin kecil atau masih kecil.
            Peluh keringat membasahi wajah Pak Kharma yang sudah memcecah tujuh puluh tahun usianya. Garis kedut jelas kelihatan. Urat ditangan yang timbul menampakkan lagi usia Pak Kharma. Walaupun usianya sudah diharuskan untuk berehat Pak Kharma tetap bertungkus lumus dengan tulang empat keratnya mencari nafkah untuk dia dan isteri. Tiada istilah berehat dalam diari hidup Pak Kharma.
            Daun-daun mengkuang yang telah siap dipotong itu diikat dengan kemas tanpa berlipat supaya daun itu tidak patah. Pak Kharma mengemaskan ikatan kain di kepalanya. Peluh dikesat.Itu tandanya kerja memotong daun mengkuang itu telah selesai. Pak Kharma membawa membawa pulang semua daun mengkuang yang telah siap dipotong. Tugasnya bukan hanya tamat setakat itu sahaja. Banyak lagi perkara yang perlu diuruskan.
             Daun mengkuang yang siap diambil perlu diproses. Banyak peringkat yang perlu dilakukan oleh Pak Karma dan Mak Puteh untuk menghasilkan tikar mengkuang. Untuk menghasilkan tikar yang berkualiti mereka erlu berhati-hati dalam proses menghasilkan tikar mengkuang itu.
            Kecuaian mereka mungkin akan menyebabkan tikar yang dihasilkan tidak mempunyai kualiti dan pelanggan mungkin tidak berpuas hati dengan hasil anyaman itu. Ini akan menyebabkan permintaan tikar mengkuang putih itu makin berkurang. Daun mengkuang yang telah direndam selama diua hari itu Mak Puteh bentangkan dikawasan rumput yang berpasir untuk mengeringkan daun itu supaya daun itu kering dengan cepat. Jika proses pengeringan daun itu memakan masa yang lama, ini mungkun akan menyebabkan proses seterusnya akan tertunda.
             Pasir yang terkena pancaran matahari itu menjadi panas dan sedikit sebanyak membantu mengeringkan daun mengkuang itu. Dari jauh kelihatan Pak Kharma pulang dengan menjunjung daun-daun mengkuang yang telah siap dipotong dari kawasan paya. Mak Puteh bersyukur dengan rezeki Allah.
            Nampaknya rezeki untuk mencari sesuap nasi untuk mereka berdua masih tidak putus-putus. Itulah sumber utama rezeki mereka dari dahulu sehingga sekarang. Pak Kharma melonggokkan daun-daun mengkuang itu di penjuru tiang di bawah rumah. Air telah siap Mak Puteh sediakan untuk Pak Kharma. Cuaca yang begitu terik mengeringkan tekak. Membuatkan Pak Kharma sangat dahaga. Mak Puteh melihat Pak Kharma dengan penuh kasihan. Tapi apa yang dapat dia tolong melainkan menyediakan apa yang termampu buat suaminya.
             Walaupun usia Pak Kharma sudah lanjut, tapi hanya perkerjaan itu yang mampu Pak Kharma lakukan demi mencari rezeki untuk mereka berdua. Jika tidak membuat apa-apa dan duduk dirumah sahaja alamatnya tidak terisilah perut mereka.
 >>> SAMBUNGAN<<<






No comments:

Post a Comment