KOMUTER CINTA
Hentian
komuter Serdang sentiasa dipenuhi oleh orang ramai, masing-masing mempunyai
arah tujuan malah aku juga tidak terlepas dalam kesesakan itu. Macam-macam
ragam dapat dilihat. Ada yang rancak berborak, ada yang berfikir bersendirian,
ada yang berani mati…Ooopps “merokok” mungkin terikut-ikut dengan lawak yang
disampaikan minggu lepas oleh Ustaz Pahrol Md Juoi dalam sebuah program dan ada
juga pasangan kekasih yang berdua-duaan. Masya-Allah. Riuh rendah makin
kedengaran apabila pengumuman tentang kelewatan komuter. Ramai yang merungut,
yang masam mencuka, dapat dilihat pada wajah mereka. Aku tersenyum sendirian
dengan melihat reaksi mereka. Nampaknya lama lagi untuk aku menunggu di sini,
ini kerana komuter masih berada di stesen Nilai. Aku memerhati dan berfikir
sendirian sementara menunggu saat komuter tiba. Melihat gelagat anak muda yang
berkasih terutamanya kaum Melayu membuatkan aku takut dan sedih. Aku mohon
dijauhkan dari berkelakuan tidak sepatutnya.
Fikiranku
mula memikirkan tentang pengangkutan awam yang popular ini. Entah kenapa itu
yang terlintas untuk difikirkan. Padaku kita sendiri yang memilih destinasi
arah tuju mengikut tujuan masing-masing. Landasan yang lurus itu memudahkan
komuter itu bergerak dengan lancar. Aku cuba mengaitkan komuter ini dengan
perjalanan hidupku. Aku memilih Allah S.W.T sebagai Tuhan yang layak disembah.
Maka ini merupakan destinasi utamaku dan landasan itu merupakan arah dan
panduan yang perlu aku lalui dalam mencapai destinasiku.
Bagaimana
pula jika aku ingin mengaitkan komuter ini dengan sebuah CINTA? Realitinya
untuk sampai ke KL Sentral, kita akan melalui beberapa hentian komuter yang
terdapat sepanjang perjalanan itu. Pelbagai karenah dan cabaran yang akan
dilalui untuk sampai. Cabaran yang aku maksudkan ialah berasak-asak dengan
orang ramai untuk mendapatkan tempat dan bermacam ragam yang tidak diduga. Jika
aku cinta pada Pemilik Cinta Yang Maha Agung, aku perlu untuk meletakkan ALLAH
sebagai destinasiku, dan dalam perjalanan untuk aku sampai ke destinasiku tanpa
aku sedari cinta dan kasih sayang disekelilingku turut sama serta dalam
mengejar cintaNYA. Walaupun kita mengharapkan komuter itu berada dilandasan
yang betul, tapi siapa akan menduga jika ia tersasar dari landasan itu. Begitulah
kehidupan kita, yang sentiasa mengharapkan petunjuk dan pengharapan pada Yang
Maha Esa untuk menetapkan kita pada jalan yang lurus. Kadangkala ada yang
tersasar dari landasan kehidupan agama sebenar, tetapi bukanlah berputus asa
menjadi jalan terakhir. Seperti firman Allah S.W.T di dalam al-Quran:
“….dan
jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa
dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir”. (Yusuf:87)
Jika kita terus
berputus asa dalam menuju destinasi yang menjanjikan cinta yang kekal abadi.
Jika akan hilang arah tuju dan membuatkan kita terjerumus dalam kesesatan yang
amat merugikan. Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran:
Ibrahim berkata,”Tidak ada orang
yang berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang-orang yang sesat.”
(ai-Hijr:56)
Alangkah bahagianya
jika dapat merasai cinta dari pemilik cinta yang kekal abadi. Tapi letakkanlah
destinasi untuk memiliki cinta itu sebagai destinasi utama dalam perjalanan
kehidupan. Disebalik cinta komuter ini membuatkan aku merasakan ia saling
berkaitan, Allah menjadikan manusia dengan kelebihan akal untuk berfikir.
Jangan jadikan harta yang berharga itu tiada nilanya. Fikiranku terganggu
sedikit dek kerana orang ramai sudah mula bangun untuk bersedia menyambut
ketibaan komuter cinta. Aku tersenyum melihat komuter cintaku yang semakin
hampir. Aku akan teruskan destinasiku untuk mencapai cintaNYA…terima kasih
komuter cinta…
Oleh : Sinar Qalbi

No comments:
Post a Comment